Visi: Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera | Misi: Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"

Vision: Quality Education Begets Learned Individuals for a Prosperous Nation | Mission: Upholding a quality education system that develops individuals to their full potential and fulfills the aspirations of the nation."



Thursday 28 February 2019

Program Perkhidmatan Sekolah

Pada 28 Februari 2019 (Khamis), pihak Klinik Kesihatan Sambir telah mengadakan Program Perkhidmatan Sekolah untuk murid Tahun 1 dan 6. Ia merupakan program kesihatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada murid-murid di sekolah bagi memastikan penjagaan kesihatan yang optimum. Program kali ini memberi fokus kepada beberapa perkara berikut:

  • berat badan dan tinggi
  • pemeriksaan kesihatan/fizikal
  • pemeriksaan mata
  • imunisasi
Tujuan perkhidmatan ini ialah:
  • Mengekalkan tahap kesihatan murid di paras optimum melalui promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan dan rujukan.
  • Mengesan masalah kesihatan yang boleh menghalang pencapaian akademik di sekolah dan seterusnya membuat rujukan awal bagi membolehkan intervensi awal dan penempatan murid dalam sistem pendidikan khas.
  • Menggalakkan penglibatan masyarakat bagi membentuk sekolah sebagai institusi yang sihat dan selamat bagi membolehkan pembelajaran berkesan
Bagi murid Tahun 6, pemeriksaan mata dan pemeriksaan kesihatan/fizikal dijalankan iaitu memeriksa keadaan kuku serta rambut. Manakala murid Tahun 1 pula menjalani pemeriksaan mata dan imunisasi iaitu dua suntikan vaksin kesihatan. Program ini di bawah pengurusan unit HEM sekolah.

Sepanjang sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan:








@sksambir

Monday 18 February 2019

Jom Ke Sekolah 2019 SK Sambir

Pada 18 Februari 2019 (Isnin), Program Jom Ke Sekolah 2019 telah diadakan di makmal komputer SK Sambir dan dihadiri oleh murid Tahap 2 yang terdiri daripada murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Program ini merupakan anjuran bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia yang diwakili oleh Puan Rohah Binti Kulai, pegawai perhubungan sekolah IPD Samarahan. 

Program Jom Ke Sekolah merupakan program kolaboratif Kementerian Pendidikan Malaysia dengan PDRM dalam menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid. Oleh itu, komitmen antara pihak sekolah dan pihak berkuasa membantu untuk mencegah salah laku dan mengukuhkan usaha penguatkuasaan undang-undang. Oleh yang demikian, jalinan antara kedua-dua belah pihak dapat memastikan risiko salah laku dikurangkan selaras dengan konsep Sekolah Selamat dan Amalan Guru Penyayang. Kehadiran pegawai perhubungan sekolah (PPS) diharap dapat menjadi medan pembentukan sahsiah positif di kalangan murid. 

Objektif Program Jom Ke Sekolah ialah:

  • Membantu mencegah salah laku murid daripada terlibat dengan kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.
  • Membantu meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah
  • Memupuk minat murid ke sekolah.

Galeri Program Jom Ke Sekolah 2019








@sksambir2019

Tuesday 12 February 2019

Program Smart Ibadah (Smart i) IKIMS

Pada 1 Februari 2019 bersamaan dengan hari Jumaat, Program Smart Ibadah (Smart i) anjuran Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKIMS) telah diadakan di makmal komputer sekolah bermula dari jam 2:30 petang sehingga 04:45 petang. Seramai 19 orang murid Tahun 6 dan 12 orang murid Tahun 5 menghadiri program tersebut serta dipimpin oleh 8 orang fasilitator dari IKIMS (terdiri daripada 4 orang lelaki dan 4 orang perempuan)

Tujuan program ini diadakan ialah:
  • memantapkan pengetahuan mengenai ibadah solat di kalangan murid
  • melatih murid untuk menjalani ibadah solat dengan betul
  • menerangkan perkara-perkara penting yang perlu diambil berat dalam ibadah solat.
Melalui program ini diharap murid-murid dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan dapat dikongsi dengan rakan-rakan yang lain.

Galeri Program Smart Ibadah IKIMS







@sksambir2019